Seminar Daurat dan Kemerdekaan, Oktober 2010
PENTADBIRAN DAN PERKEMBANGAN
PASUKAN HOME GUARD
Oleh. Zulkifli Muhamad
Pengenalan
Perbincangan ini memfokus kepada
struktur pentadbiran dan perkembangan pasukan HG yang merangkumi tempoh dari
tahap awal penubuhan sehingga penghujung era darurat. Di samping itu, turut dibincangkan
adalah program-program untuk memperkemaskan lagi peranan pasukan ini bagi
membantu pihak berkuasa keselamatan awam memerangi musuh semasa zaman darurat.
Justeru, penekanan kepada perkara tersebut akan menyentuh aspek seperti corak
pengendalian latihan dan pengoperasian, pengendalian taktikal dan teknikal.
Program-program khusus, aspek-aspek pertahanan pasukan dan juga perkara-perkara asas yang menjadi dasar
kepada keberkesanan pasukan HG seperti polisi kebajikan ahli turut dikaji.
Ordinan Undang-Undang Darurat 1948
Melalui peruntukan Undang-Undang Darurat No.10, 1948,
bidang kuasa pasukan HG telah digariskan secara umum oleh kerajaan di bawah
bidang kuasa Pesuruhjaya Tinggi British. Dengan kuasa dan perakuan Pesuruhjaya
Tinggi British melalui Seksyen 4 Ordinan Peraturan-Peraturan Darurat 1948,
Pesuruhjaya Tinggi telah mengeluarkan arahan Darurat (Home Guard) (Pindaan)
Peraturan-Peraturan 1952 dengan pindaan;
b) pengertian terhadap konsep kawasan HG yang
merujuk kepada Inspektor General membawa maksud Inspector General HG”.[2]
Apabila seseorang diperakui sebagai anggota HG
yang sah, ianya secara automatik terikat kepada peraturan-peraturan seperti
yang digariskan oleh undang-undang Persekutuan Tanah Melayu. Sementara itu
mengikut Peraturan 7 dalam Undang-Undang berkenaan pada bahagian akhir
perenggan (a) kenyataan perenggan (1) menyatakan:
[...] hukuman denda tidak
melebihi 15 ringgit untuk atau tambahan tugasan untuk tempoh tidak melebihi 40
hari bagi mereka yang ingkar peraturan ini, ketidakpatuhan, kedegilan, atau
mempunyai kelakuan buruk sebagai seorang anggota HG [...].[3]
Dari segi bidang kuasa pula, seseorang
anggota HG terikat kepada beberapa undang-undang dan bidang kuasa mestilah
tidak melebihi bidang kuasa pasukan polis seperti yang ditetapkan dalam
Pekeliling Perintah Pengarah Gerakan Bagi Gerakan-Gerakan di Tanah Melayu,
bilangan 35, Home Guard tahun 1956
antaranya ialah:
a) Emergency
Home Guard Regulation 1951 Reg. 9 (1) (a) seseorang anggota
HG dibenarkan membawa senjata api dan boleh menggunakannya sewaktu bekerja
dengan izin Pegawai HG dari pihak negeri atau NNS;
b) Emergency
Home Guard Regulation 1951 Reg. 9 (b) (1) Seseorang. anggota
HG diberi kuasa menangkap sesiapa sahaja yang disyaki melakukan kesalahan di
bawah undang-undang darurat dan pesalah perlu dibawa ke balai polis;
c) Emergency
Home Guard Regulation 1951 Reg. 17 EA (7). Setiap anggota HG
diberi kebenaran melakukan pemeriksaan ke atas setiap orang awam kecuali perempuan
hendaklah diperiksa oleh seseorang perempuan yang telah diberi kuasa oleh
Pegawai Daerah;
d) Emergency
Home Guard Regulation
1951 Reg. 17. Seseorang anggota HG
diberi kuasa memeriksa kenderaan awam bagi memastikan tidak ada penyeludupan
barang makanan berlaku untuk mengelakkan barang makanan tersebut terlepas ke
tangan komunis;
e) Emergency
Home Guard Regulation 1951 Reg.31. Sesorang anggota HG diberi kuasa melakukan pemeriksaan ke atas rumah,
orang dan juga kenderaaan bagi memastikan tidak ada penyeludupan makanan
seperti beras, dan barang makanan yang lain bagi mengelakkan jatuh ke tangan
komunis;
f) Emergency
Home Guard Regulation 1951 Reg.28 EA. Seseorang anggota HG dibenar mengunakan senjata api bagi menahan dan
menangkap penjahat yang melarikan diri dan boleh membunuh penjahat sekiranya
penjahat tersebut tidak dapat ditahan.
Setiap anggota HG tidak boleh membunuh dan mencederakan penduduk
kampung.[4]
Struktur dan Pentadbiran
Home Guard
Susunan kedudukan perjawatan dan ranking
seperti ini diikuti oleh keahlian semua pasukan HG. Hirarki pentadbiran dapat
dilihat seperti dalam jadual di bawah:
Jawatan
|
Pangkat
|
State Home Guard Officer
|
Lt. Col (Home Guard)
|
Deputy atau Timbalan
|
Major (Home Guard)
|
District Officer atau Pegawai Daerah
|
Major (Home Guard)
|
District Home Guard Officer
|
Major atau Kapten (Home Guard)
|
C.O Battalion
|
Leftenan/Lieut (Home Guard)
|
Adjutant (pegawai Tentera)
|
W.O. I dan II
|
Inspektor Home Guard
|
W.O. I dan II
|
Company Comander
|
Sarjan
|
Pengajar Tetap
|
Sarjan
|
Komander Platun
|
Kopral
|
Komander Bahagian/Sekseyen
|
Lans. Kopral
|
Jadual 2: Hierarki perjawatan pasukan Home Guard.
(Sumber: U/1
Home Guard Regulations and Instructions, “Home Guard Ranks”,
hlm. 64 [SULIT])
Susunan kedudukan pangkat pasukan HG ini
seperti yang ditunjukkan dalam jadual di atas adalah seperti yang telah
diwartakan oleh kerajaan negeri. Bidang kuasanya pula tidak boleh melebihi
daripada peruntukan yang telah ditetapkan dalam Undang-Undang Home Guard. Jika
dilihat dari segi Arahan Organisasi Home Guard (Home Guard Command Organisation) secara umumnya struktur organisasi
pasukan HG negeri atau di negeri-negeri atau NNS diketuai oleh Ketua HG
Negeri. Beliau dibantu oleh seorang Timbalan Ketua HG Negeri, yang akan dibantu
oleh sorang Penolong SHGO. Pada peringkat seterusnya pula, Pegawai Daerah atau
DO akan mengetuai pasukan HG di setiap daerah tadbirannya. Jawatan ini dibantu
oleh Pegawai HG Daerah atau DHGO dan juga Pegawai HG berpangkat Inspektor.
Kemudiannya, selepas DHGO, pasukan HG akan diterajui oleh pegawai-pegawai
Komander Batalion yang dilantik mengikut keperluan. Manakala pada peringkat
bawahan pula, terdapat jawatan-jawatan seperti PSI, Coy Comander, PI Comander
sehinggalah kepada jawatan Komander Seksyen yang akan mengetuai anggota-anggota
HG peringkat paling bawah.[5]
Organisasi Home Guard
Meskipun pasukan HG merupakan sebuah unit
keselamatan yang dibentuk berasaskan penyertaan secara sukarela, namun dari
segi pengurusan pengendalian latihan dalam pasukan sukarelawan ini sangat bersistematik.
Hal ini kerana, sejurus pengisytiharan darurat dibuat, faktor desakan dan
tekanan daripada pengganas komunis yang bermaharalela di tanah air memaksa
pihak British menyelaraskan secara teratur pasukan HG sebagai sebuah organisasi
yang penting pada waktu itu. Justeru, pasukan HG menjadi nadi penting kepada
pasukan bersenjata utama lain kerana mereka meringankan beban pasukan
bersenjata khususnya di kawasan-kawasan kampung.
Penubuhan pasukan HG di kampung-kampung ini, memberikan sedikit ruang
kepada pihak pasukan keselamatan untuk menumpukan sepenuh perhatian di
kawasan-kawasan yang dikira lebih strategik. Sejak awal penubuhan sehingga
tahun 1954, jumlah keahlian dianggarkan seramai 294,400 orang anggota. Angka ini
menjadikan pasukan HG sebagai sebuah pasukan sukarelawan yang kuat. Jumlah ini
walau bagaimanapun tidak termasuk ahli pasukan HG yang ditubuhkan di Lembah
Kinta. Dari segi komposisi kaum pula, meskipun di peringkat permulaannya pasukan
ini dibentuk hampir menyerupai “sistem kerahan”, namun jumlah penyertaan ahli majoriti terdiri daripada sukarelawan
Melayu. Hanya sebilangan kecil sahaja kaum Cina yang menyertai pasukan ini yang
lebih tertumpu di kawasan–kawasan tertentu seperti di tapak perlombongan dan
juga di sesetengah kawasan premis perniagaan tertentu.[6]
Bagi mempertingkatkan lagi kecekapan pengurusan dan pentadbiran pasukan,
pentadbir British telah mengambil lebih daripada 2000 kakitangan yang terdiri
daripada pegawai pelbagai jawatan utama menganggotai pasukan HG. Kebanyakan pegawai
atasan yang terpilih untuk menjawat jawatan berkenaan negara-negara Asia. Pada
tahun 1954, terdapat 60 orang Pegawai dari Eropah. Namun daripada jumlah
tersebut, 6 pegawai yang berada di bawah pentadbiran Pegawai HG Daerah tidak
diletakkan dalam kedudukan kawalan Penolong HG Negeri.[7]
Kekuatan anggota pasukan dibahagikan kepada dua pasukan iaitu unit statik dan pasukan
bergerak (mobile element). Dalam
organisasi pengurusan peringkat pertama anggotanya terdiri dari 150 orang ahli
dengan setiap platun terdiri daripada 30 orang ahli. Manakala bagi satu seksyen
ianya dianggotai tidak lebih dari 10 orang. Walau bagaimanapun kekuatan
ini lazimnya berbeza-beza atau tidak
sama antara satu sama lain kerana bergantung kepada keadaan sesuatu tempat.[8] Selain itu, anggota unit bergerak telah
diletakkan di bawah Bahagian Operasi yang dianggotai lebih kurang 9 orang
sukarelawan yang berpengalaman daripada unit statik atau lokal. Anggota dalam
bahagian ini diberikan bayaran dan juga makanan setiap kali melaksanakan sesuatu
operasi yang dibahagikan pula mengikut seksyen biasanya memakan masa maksimum
60 hari bekerja per-seksyen. Pada tahun 1954, untuk setakat bulan Mac sahaja,
terdapat sebanyak 387 seksyen telah menjalankan operasi mereka. Kebanyakan
mereka terdiri daripada orang Melayu, namun sekiranya di kampung-kampung baru
pula, jumlah yang mengikuti operasi kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina.[9]
Pasukan HG telah dibekalkan 90,000 pucuk senapang dengan lebih kurang
iaitu ukuran secara nisbahnya satu senjata untuk setiap 3 orang anggota. Mereka
juga dibekalkan dengan senapang automatik (karbin) dan pistol namun dalam
kuantiti yang agak terhad. Pembekalan senjata kepada pasukan-pasukan HG ini
sebenarnya telah dipersetujui oleh ahli-ahli jawatankuasa dalam Bahagian
Operasi dan juga Ketua-Ketua Pasukan HG Negeri. Sebagai peruntukan tambahan,
kerajaan telah membekalkan sebanyak 270 senapang patah untuk digunakan bagi
tujuan kegunaan latihan pasukan HG di kesemua pusat latihan HG.[10]
Pengurusan
dan pentadbiran dalam pasukan Home Guard
Ketua HG Persekutuan (Inspector General of Home
Guard) merupakan peneraju dalam pasukan HG seluruh Tanah Melayu.[11]
Beliau juga menjadi Ketua Pengarah Operasi dalam pasukan HG yang menerima arahan dari Setiausaha
Pertahanan. Selain tugas ini, beliau bertanggungjawab dalam menguruskan
keperluan-keperluan utama pasukan ini berhubung peralatan senjata dan lain-lain
peralatan yang diuruskan bersama pihak SWEC.[12]
Beliau tidak terlibat secara langsung dalam
soal perjalanan sesebuah operasi tetapi bertanggungjawab sepenuhnya untuk
menguruskan pentadbiran pengurusan dan juga tahap kecekapan serta disiplin
pasukan secara langsung.
Di samping itu, bagi meningkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan
pentadbiran pasukan HG di seluruh Tanah Melayu, kerajaan British telah melantik
pegawai-pegawai HG yang didatangkan dari negara-negara luar. Pegawai-pegawai
ini dikenali sebagai Asian Assistant
State Home Guard Officers (ASHGO). Mereka yang terlibat dalam bahagian ini
telah diberikan kontrak perkhidmatan selama dua tahun dan menerima bayaran
pampasan mengikut ketetapan nisbah pendapatan yang diperuntukkan oleh kerajaan
PTM kepada semua ASHGO. Kesemua urusan perjawatan in dilaksanakan oleh Ketua HG
Persekutuan Tanah Melayu yang mengiklankan jawatan sama ada di Tanah Melayu
atau kepada negara-negara luar khususnya di peringkat negara Asia. Tujuan
pengambilan ini adalah untuk memperkukuhkan lagi sistem pengurusan pasukan HG.
Pegawai-pegawai yang dilantik mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang pertahanan.
Justeru dengan adanya pegawai seperti ini, kerajaan mensasarkan setiap pasukan
HG di Tanah Melayu dapat meningkatkan keberkesanan operasi pasukan yang menjadi
kunci kejayaan seluruh pasukan HG.[13]
Di
peringkat setiap negeri atau NNS, SWECs memainkan peranan membentuk formasi,
organisasi, pengurusan peralatan dan menguruskan latihan di sesebuah negeri
atau NNS. Namun demikian, setiap pelaksanaan atau sesuatu tindakan itu dirujuk terlebih
dahulu kepada Ketua HG Persekutuan yang terlebih dahulu memutuskan kelulusannya,
sebelum sesuatu arahan dilaksanakan. Pegawai-pegawai yang terangkum dalam SWECs
ini juga memainkan peranan dan tugasan mereka menerusi pentadbiran Pegawai HG
Negeri dan NNS (S/SHGO). Oleh itu segala panduan dasar yang diperolehi dari
Ketua HG Persekutuan akan disalurkan
menerusi SWECs kepada pihak SHGO. Dalam perkara yang memerlukan pemerhatian
terperinci, pegawai-pegawai ini akan berhubung secara langsung dengan SHGO terlebih dahulu sebelum sesuatu
persetujuan atau kelulusan diputuskan.[14]
Di peringkat negeri, pasukan-pasukan HG mempunyai seorang Pegawai HG
Negeri/NNS (SHGO) yang merupakan anggota Jawatankuasa SWEC. Pegawai HG Negeri
juga adalah Komander bagi semua anggota HG dalam negeri tersebut. Beliau
bertanggungjawab berhubung dengan sistem pengurusan pentadbiran, kawalan disiplin
serta menguruskan latihan untuk seluruh anggota HG dalam negeri yang
ditadbirnya. Selain itu Pegawai HG negeri juga bertanggungjawab menguruskan
rancangan atau jadual kawalan pertahanan di semua kawasan ibu pejabat yang
tidak mempunyai pondok polis. Selain tugas-tugas berkenaan, SHGO dibekalkan
dengan kemudahan ruang pejabat dan juga kakitangan untuk memudahkan kerja-kerja
pentadbiran dan pengurusan kewangan yang menjadi tanggungjawab penuh beliau.[15]
Manakala di peringkat daerah pula, Pegawai Daerah (District Officer) akan mengetuai keseluruhan anggota pasukan HG
yang ada dalam daerah pentadbirannya. Pegawai Daerah bertanggungjawab menerajui
pasukan HG untuk memastikan anggota-anggota HG daerah mempertingkatkan
keberkesanan tugasan mereka. Pegawai Daerah ini juga akan dibantu oleh beberapa
orang Pegawai Inspektor HG yang akan memainkan peranan penting dalam
pengendalian latihan dan pentadbiran pasukan HG dalam daerah pengawasan beliau.
Walau bagaimanapun pegawai berpangkat Inspektor ini tidak akan memegang
sebarang kuasa eksekutif melainkan hanya dalam sesuatu operasi khusus sahaja.
Di samping Pegawai Daerah dan Pegawai HG Daerah, dalam keadaan tertentu,
Pegawai-Pegawai HG Daerah (DHGO) boleh dilantik bagi membantu jentera
pentadbiran. DHGO juga boleh bertindak sebagai Timbalan Pegawai HG Daerah dan
pelantikan ini seringkali berdasarkan kepada pengalaman dan meriktokrasi.
Mereka (DHGO) yang dilantik diberikan bayaran sekitar $330 hingga $430 sebulan.
Namun pendapatan ini tidak tetap kerana jika keadaan di sesuatu kawasan itu
mempunyai risiko dan tinggi terhadap aktiviti pengganas, bayarannya meningkat
dalam kadar $400 hingga $750 sebulan. DHGO ini juga boleh dilantik sebagai Pembantu
SHGO dan yang bertanggungjawab segala bentuk tugasan di bawah naungan SWEC.[16]
Di peringkat kawasan pula, anggota HG diselaraskan ke dalam “Company” atau kumpulan yang terdiri
daripada 150 orang anggota. Kompeni ini dibahagikan kepada beberapa platun yang terdapat sekurang-kurangnya 30 orang anggota
dalam satu platun. Setiap platun dibahagikan kepada seksyen yang terdiri
daripada 10 orang anggota dipilih oleh Komander. Jumlah anggota dalam sesebuah
platun atau unit-unit berkenaan adalah tidak tetap kerana ia bergantung kepada
keadaan ancaman yang dihadapi di sesebuah kawasan. Sekiranya keadaan terdesak,
battalion boleh ditubuhkan namun hal ini bergantung kepada situasi semasa dan
mestilah melibatkan keputusan dari pihak tertinggi organisasi.
Untuk memantapkan pengurusan pasukan pada peringkat ini, pegawai-pegawai
tentera yang berpengalaman dilantik bagi membantu Komander Battalion. Selain
itu Pengajar Tetap berbayar (Permanent
Staff Instructor) yang dilantik untuk membantu Coy Comanders dalam memberikan latihan kepada platun di bawah
seliaan mereka. Jawatan Komander Platun boleh dilantik dari mana-mana anggota
HG dalam satu pasukan yang berperanan menjaga anggota-anggota dalam sesebuah
platun.[17]
Latihan dalam pasukan HG
Aspek latihan melibatkan semua anggota daripada
peringkat atasan sehinggalah kepada anggota biasa. Latihan pasukan HG
dijalankan dengan penglibatan wajib Ketua Pegawai HG Negeri, atau di sesetengan
negeri timbalannya, penolong Pegawai HG Negeri, Pegawai Daerah dan pegawai HG
Daerah yang mewakili barisan hadapan sebagai tenaga pengajar. Pegawai-pegawai
ini kemudiannya akan dibantu oleh:
a) Home
Guard Inspectors (HGIs)
Mereka yang memegang jawatan ini menerima latihan
peringkat pertama sebagai pendedahan asas. Latihan ini memberikan pengalaman
kepada mereka tentang kaedah mengajar atau melatih anggota HG. Justeru, pada
tahap ini sebarang latihan yang dirangka oleh kerajaan dilaksanakan di Pusat
Latihan Negeri atau Pusat Latihan Utama.
b) Permanent
Staff Instructor (PSIs)
Mereka yang memegang jawatan ini biasanya dipilih dari
kalangan anggota HG dalam Kompeni. Hal ini kerana mereka berkemungkinan juga
boleh dilantik sebagai Komander Platun. Tugas Pengajar tetap ini ialah membantu
komander kompeni dalam memberikan latihan dan bimbingan kepada platun di bawah
jagaannya. Di samping itu mereka juga perlu membentuk static link bagi meneruskan program latihan yang diterajui oleh
Inspekctor HG dalam mana-mana kawasan kompeni. Selain itu, semua PSIs
diwajibkan menjalani latihan di Pusat Latihan Negeri masing-masing.
c) Battalion
Home Guard atau Komander Kompeni
Pegawai-pegawai ini kebiasaannya mempunyai asas
ketenteraan dan mereka ditempatkan di kawasan ladang. Kerajaan menggalakkan
peningkatan jumlah anggota di bahagian ini supaya mereka dapat menerima arahan
daripada batalion atau kompeni. Pengalaman ketenteraan dan pengetahuan yang
dimiliki diharapkan dapat membangkitkan semangat yang lebih berkesan dalam
setiap sesi latihan.
d) Pegawai-pegawai yang tidak berkhidmat dalam
perkhidmatan polis (officers and
non-commissioned rank of the service & the police)
Anggota di bawah kategori ini dipilih daripada
mereka yang mempunyai potensi tinggi di kalangan pelatih. Walau bagaimanapun,
anggota pelatih yang terpilih ini akan berhadapan dengan beban tugas yang
lebih. Oleh kerana itu, hanya sebahagian anggota sahaja yang akan terlibat
dalam pemilihan pada peringkat ini.[18]
Di
setiap negeri terdapat satu atau lebih Pusat Latihan yang diuruskan oleh
Pegawai HG. Di setiap pusat, latihan dijalankan di bawah pengawasan penuh sama
ada oleh Pegawai HG Negeri, timbalannya ataupun Pegawai HG Daerah. Pusat-pusat
latihan Home Guard menyediakan tempat latihan kepada anggota di setiap
peringkat yang melibatkan Inspektor HG, PSIs, Battalion dan Komander Kompeni.
Selain itu latihan juga diberikan kepada pemimpin-pemimpin peringkat bawahan (junior) dan juga kepada semua anggota
dari unit Bahagian Operasi. Dalam setiap sesi latihan, semua anggota HG
menerima tunjuk ajar berhubung tugasan mereka sebagai anggota HG di samping
aspek-aspek teknikal lainnya. Misi utama
yang menjadi cabaran kepada tenaga pengajar di setiap Pusat Latihan Pasukan HG
adalah seperti:
a) melatih anggota HG dengan kemahiran asas;
b) melatih dan memberi tunjuk ajar berkenaan
cara-cara menembak;
c) mempertingkatkan daya ketahanan dan
kecekapan anggota;
d) mentadbir unit termasuklah penyeliaan
peralatan senjata dan;
e) menyalurkan maklumat dengan tepat dan
mampu membuat keputusan atau tindakan yang betul.[19]
Dalam
latihan ini, anggota HG diberikan kursus pendedahan asas dalam menghadapi saat
genting semasa menjalankan tugas. Oleh demikian, bentuk latihan yang diterapkan
sangat sesuai dengan keutamaan dan keadaan semasa menempuhi ketegangan dalam
era darurat. Antara beberapa bentuk latihan yang telah diperaktikkan kepada
pasukan HG ialah drill atau latihan
latih tubi. Penerapan sistem ini sangat diperlukan untuk menyemai sikap
kepatuhan kepada perintah, tanpa sebarang rungutan. Perkara ini sangat penting
bagi memastikan anggota pasukan HG terus memainkan peranannya dengan berkesan.
Selain itu, latihan ini membentuk anggota HG kearah memahami koordinasi antara
minda dan kekuatan fizikal yang dapat mengukuhkan keyakinan diri anggota.
Selain
latihan di atas, anggota HG juga diajar kemahiran asas seperti cara-cara untuk
menjaga dan menggunakan peralatan senjata, penerapan tugasan di pusat-pusat
kawalan, rondaan dan perhubungan, dan juga teknik melakukan serangan hendap.
Penekanan turut diberikan dalam aspek seperti langkah pemantapan kawalan di sesuatu
kawasan dan pembentukan jadual pertahanan yang sesuai khususnya di kampung yang
mempunyai penduduk berselerak. Antara latihan asas lain yang diberikan tumpuan
adalah seperti latihan pengendalian penggera kecemasan, penempatan pos kawalan
pada waktu malam, kaedah rondaan, pemantapan pusat simpanan dan juga kaedah
yang betul mengelakkan rampasan peralatan senjata.[20]
Pada
peringkat akhir latihan pula, pelatih HG akan diajar cara-cara melakukan
serangan. Dalam kursus ini, unarmed
combat dibuat dalam bentuk permainan biasa seperti juga acara sukan dan
permainan-permainan harian lain. Untuk memastikan keberkesanan pengajaran,
anggota polis dan tentera yang berpengalaman turut menjadi tenaga pengajar
kepada pelatih HG.[21]
Di samping itu juga, sebelum sesuatu latihan dijalankan, risalah (pamphlet) keterangan berkenaan latihan
dihasilkan untuk dijadikan sebagai panduan asas para pelatih. Risalah ini
dihasilkan dalam beberapa bahasa seperti bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan
juga Cina. Dalam risalah ini juga, maklumat terperinci mengenai kursus turut
dinyatakan. Risalah ini tujuan untuk membantu mereka (pengajar dan pelatih)
mengetahui dengan lebih mendalam perkara-perkara utama semasa proses latihan
berlangsung.
Penekanan kepada peri pentingnya aspek latihan ini telah dititikberatkan
ke dalam keseluruhan pasukan HG. Hal ini kerana sekiranya anggota HG tidak
mengambil berat segala aspek yang ditekankan semasa menjalani latihan, antara
risiko yang sering memalukan pasukan HG ialah berlakunya masalah kehilangan
peralatan senjata dan juga bekalan peluru. Oleh demikian, pegawai atasan HG
telah merangka prinsip-prinsip berikut:
a) sikap rasa bertanggungjawab dalam diri
setiap individu untuk keselamatan senjatanya dan bekalan peluru peribadi;
b) permintaan senapang untuk sesiapa sahaja
yang bertanggungjawab untuk pertahanan di sesuatu kawasan sama ada pada siang
atau malam hari, mesti dipegang dan perlindungannya adalah dibawah tanggungan
tersebut dan bukannya di bawah penjagaan pusat latihan;
c) sebarang baki daripada bekalan peluru, di
atas dan di bawah (b) akan dijaga sama
ada secara individual atau jika di bilik jagaan pusat iaitu di bawah kawalan
pengawal keselamatan dibiayai sama ada oleh polis atau HG;
d) di sana mestilah tidak ada sebarang
senjata persendirian. Selain itu ianya boleh diambil senjata persendirian dalam rumah sekiranya pada waktu malam
dengan kadar tidak boleh melebihi 100 ela daripada senjata seterusnya.[22]
Di
samping itu, dalam pengendalian dan pengajaran semasa sesi latihan, terdapat 5
prinsip utama berhubung dengan pengajaran kursus kepada seluruh anggota HG.
Antara 5 prinsip utama melibatkan:
a) kesetiaan: bukan semata-mata disebabkan
oleh tanggungjawab untuk menjaga keselamatan sesebuah kampung sahaja tetapi
kesetiaan ini meliputi sebuah persahabatan dan sikap kesetiakawan dalam pasukan
HG; kesetiaan ini mestilah seiringan dengan keadaan semasa menghadapi
ketegangan atau bahaya;
b) berdisiplin: setiap anggota HG hendaklah
mematuhi arahan kerja secara berpasukan dengan tahap disiplin yang tinggi pada
setiap masa dan keadaan;
c) kewaspadaan: anggota HG mesti berwaspada
menghadapi serangan pengganas komunis;
d) kemahiran penggunaan senjata: semua
anggota HG mestilah mengetahui kaedah penggunaan senjata yang betul;
e) field
Craft: anggota-anggota HG
mestilah mempunyai kepakaran di kawasan lapangan bagi menghadapi musuh-musuh
mereka.[23]
Pengurusan
dan penyelarasan kewangan
Berdasarkan sumber yang diperolehi, didapati Ketua
HG Persekutuan tidak bertanggungjawab dalam pengurusan soal bayaran, peralatan
dan pentadbiran HG di peringkat lokal. Hal ini kerana perkara ini adalah
dibawah pengurusan pihak S/SHGO. Justeru, Setiausaha Pertahanan menyediakan peruntukan
kewangan kepada pihak negeri atau NNS untuk bantuan seperti bayaran, geran
latihan, geran peralatan, dan geran kemudahan-kemudahan asas.
Oleh kerana pasukan HG merupakan sebuah pasukan sukarelawan, anggotanya
tidak menerima sebarang bayaran atas perkhidmatan yang diberikan kecuali
sedikit saguhati. Pembayaran saguhati ini juga diterima oleh pasukan HG persendirian.[24]
Di peringkat jawatan tertinggi pasukan HG, mereka menerima pembayaran gaji.
Mereka adalah terdiri daripada SHGOs, Timbalan SHGOs, Pegawai Kakitangan,
DHGOs, Inspektor, Pegawai Tentera (adjutant),
dan PSIs.
Sementara itu bagi pasukan HG di negeri-negeri PTM, mereka menerima
geran peruntukan tahunan. Geran ini adalah seperti yang telah diperuntukkan
oleh Setiausaha Pertahanan PTM kepada Setiausaha Eksekutif Jawatankuasa Eksekutif Perang Negeri, Negeri
Sembilan. Jadual di bawah menunjukkan
jumlah peruntukan yang diterima oleh pasukan-pasukan HG di negeri-negeri
masing-masing bagi tahun 1952:
NEGERI
|
JUMLAH PERUNTUKAN
|
Perlis
|
$5000
|
Kedah
|
$60,000
|
Pulau Pinang
|
$14,000
|
Perak
|
$170,000
|
Selangor
|
$46,000
|
Neegeri Sembilan
|
$26,000
|
Melaka
|
$10,000
|
Johor
|
$110,000
|
Pahang
|
$40,000
|
Terengganu
|
$1,500
|
Kelantan
|
$ 8,000
|
JUMLAH
|
$490,500
|
Jadual 3: Peruntukan geran bagi pasukan HG
mengikut
negeri di Tanah
Melayu bagi tahun 1952.
(Sumber: U/4/A. Home
Guard Finance Amenity Grant, C.S. 6037/1952/22 “Letter from Head 16, Police Subhead 38, Grant to
Auxiliary Police and Home Guard”, dated 23 February, 1952. [SULIT])
Berdasarkan
jadual di atas, jumlah peruntukan yang diperolehi tidak sama antara sesebuah
negeri. Kerajaan memperuntukkan jumlah yang besar kepada negeri-negeri yang menerima
ancaman komunis serta mempunyai anggota HG yang ramai. Sebagai contoh,
negeri-negeri seperti Johor, Perak, Kedah dan Pahang menerima peruntukan
perbelanjaan besar disebabkan keadaan di negeri yang mempunyai lokasi yang
banyak kawasan yang dilabelkan sebagai kawasan hitam.[25]
Oleh
kerana pasukan-pasukan HG adalah salah satu cabang pasukan keselamatan yang
penting, kerajaan PTM telah menyediakan peruntukan yang benar untuk membangun
dan memperkembangkan pasukan ini. Perbelanjaan yang besar ini adalah sebagai
usaha-usaha pemerkasaan pasukan HG berfungsi seiring dengan pasukan-pasukan
keselamatan lain. Kesungguhan pentadbir British dapat dilihat melalui
perbelanjaan membangunkan pasukan HG pada tahun 1953.[26]
Sebagai contoh ditunjukkan dalam jadual di bawah untuk Negeri Sembilan:
Item
|
Kandungan
|
Anggaran
Peruntukan
|
Jumlah
Belanjawan sehingga 31.12.1953
|
Baki tanpa belanjawan
|
(a) (1)
|
Gaji dan elaun
|
$ 650, 295
|
$ 645, 696. 25
|
$ 4, 598. 75
|
(2)
|
Elaun perumahan dan hotel
|
30, 375
|
26, 061. 52
|
4, 313. 48
|
(b) (1)
|
Alat tulis & percetakan
|
4, 100
|
4, 086. 67
|
13. 33
|
(2)
|
Telefon & telegram
|
4, 900
|
3, 630. 74
|
1, 269. 26
|
(3)
|
Lampu, kuasa & lln2.
|
1, 500
|
1, 025. 82
|
474. 18
|
(4)
|
Peruntukan kenderaan
|
53, 425
|
53, 185. 04
|
239. 96
|
(5)
|
Pengangkutan, perjalanan
|
32, 500
|
30, 280. 40
|
2, 219. 60
|
(6)
|
Elaun saraan
|
17, 500
|
17, 287. 40
|
212. 10
|
(7)
|
Perbelanjaan kawasan
|
500
|
500. 00
|
-
|
(8)
|
Penyelengaraan Pusat Latihan
|
9, 100
|
9, 059. 73
|
40. 27
|
(9)
|
Khemah & penempatan
|
6, 775
|
6, 762. 97
|
12. 27
|
(10)
|
Penggantian uniform & peralatan
|
60, 000
|
59, 280. 45
|
719. 55
|
(11)
|
Elaun latihan
|
82, 941
|
81, 556. 00
|
1, 385. 00
|
(12)
|
Elaun operasi
|
72, 400
|
43, 417. 30
|
28, 982. 70
|
(13)
|
Kecemasan
|
800
|
163. 60
|
36. 40
|
(c) (1)
|
Bekalan uniforms dan peralatan
|
14, 572
|
13, 965. 75
|
608. 25
|
(2)
|
Geran kemudahan
|
29, 468
|
24, 188. 08
|
5, 279. 93
|
(3)
|
Bangunan ringkas ibu pejabat
|
60, 000
|
56, 541. 40
|
3, 458. 60
|
(4)
|
Pembelian peralatan pejabat
|
3, 306
|
3, 251. 10
|
54. 90
|
(5)
|
Pembinaan bangunan
|
75, 878
|
75, 716. 09
|
161. 91
|
(6)
|
Pembelian peralatan di pusat latihan
|
4, 660
|
4, 415. 40
|
244. 60
|
Jumlah keseluruhan
|
$ 1, 214, 997
|
$ 1, 160, 672.11
|
$ 54, 324. 89
|
Jadual 4: Perbelanjaan pasukan Home Guard Negeri Sembilan, 1953.
(Sumber: U/4/54
Home Guard Finance, Grant Def.
6037/1952/23, “Amenity Grants for Home Guard”. [SULIT])[27]
Selain daripada peruntukan atau bantuan seperti yang ditunjukkan dalam
jadual di atas, dari semasa ke semasa kerajaan memberikan derma kepada tabungan
setiap pasukan HG. Walau bagaimanapun peruntukan ini hanya akan digunakan dalam
keadaan tertentu sahaja yang bertujuan supaya dapat menaikkan semangat untuk
bekerja di kalangan anggota-anggota HG. Setiausaha Kewangan Persekutuan Tanah
Melayu dalam jawapannya kepada surat bernombor C.S.O 883/1951 menjelaskan
bahawa peruntukan wang tabung pasukan ini hendaklah dibelanjakan bagi tujuan
berikut:
a) sebagai bantuan kewangan dan kes-kes yang
bersifat “hard luck”;
b) perbelanjaan out of pocket dalam hal-hal seperti biaya sesuatu perjalanan atau
semasa menghadiri mesyuarat;
c) penggantian pakaian yang mengalami kerosakan
teruk semasa bertugas;
d) perbelanjaan dalam urusan membuat sarung
pinggang peluru dan sebagainya;
e) bantuan kepada HG atau Pengawal Kampung bagi
menghadiri kursus latihan misalnya yang memakan masa seminggu;
f) bayaran sampingan kepada mereka yang bertugas
luar waktu bertugas;
g) percutian dan lain-lain sambutan perayaan;
h) fotografi berkumpulan yang tidak lebih
daripada sekali setahun;
i)
pembelian
peralatan sukan misalnya bola sepak, sepak raga dan badminton;
j)
satu
surat khabar untuk Ibu Pejabat;
k) bateri radio sekiranya tidak dapat ditampung
melalui bayaran ahli tempatan.[28]
Pengurusan
dan pembayaran elaun
Seperti yang telah dibincang dalam perenggan
terdahulu, anggota HG terbahagi kepada dua iaitu anggota yang menerima bayaran
dan juga anggota yang bertugas secara sukarela. Dari segi pembayaran elaun, ia bergantung
kepada tugas yang diterima dari unit Bahagian Operasi iaitu 60 hari dalam masa
setahun. Namun demikian, dalam kes-kes pengendalian operasi yang melibatkan
anggota secara individu, elaun mereka akan dikira sehingga 150 hari bekerja
setahun. Pada tahun 1951, kerajaan pernah menawarkan bayaran pada kadar
berpatutan kepada anggota sukarelawan dari pasukan Auxiliary Police, Kampung Guard (sebelum digabungkan dalam HG) dan
juga HG. Setiap sukarelawan dari pasukan
ini menerima bayaran $3 untuk tempoh waktu bekerja lebih 10 jam sehari. Selain
itu, mereka juga diberikan bayaran perjalanan pergi dan balik selain bayaran
untuk bekalan makanan.[29]
Walau bagaimanapun informasi dari temubual bersama seorang bekas anggota HG berpangkat
Seksyen Komander di Kampung Lepau, Pengerang, Johor, menjelaskan bahawa beliau tidak
pernah menerima sebarang bayaran sepanjang berkhidmat dalam pasukan HG sejak
dari tahun 1952 sehinggalah tahun 1962. Menurut responden, beliau telah
menerima latihan selama setahun dan ditugaskan berjaga dari pukul 6 petang
sampai 6 pagi dan perkhidmatan ini adalah secara sukarela sahaja. Justeru,
keadaan seperti ini jelas menunjukkan bahawa masih terdapat sedikit kelompangan
berhubung soal pembayaran elaun saguhati kepada anggota HG.[30]
Pembayaran elaun pula dikira hanya untuk tempoh 5 jam waktu bekerja
dalam sehari. Namun, terdapat pengecualian bagi mereka yang berkhidmat dalam
sesuatu tugasan rutin seperti unit rondaan misalnya mesti menghabiskan tugasan
mereka kurang daripada 5 jam. Selain itu, anggota dari Bahagian Operasi pula hanya
diambil bertugas dalam sesuatu operasi yang tertentu sahaja. Sekiranya
kedudukan kewangan pasukan tidak stabil,
pembayaran elaun tidak rasmi kepada Bahagian Operasi boleh dikurangkan jika
mendapat kelulusan pentadbiran tertinggi HG. Dalam masa yang sama, pihak SHGOs
akan menyelaraskan peruntukan kewangan bagi tujuan pembayaran elaun kepada mana-mana
anggota yang layak sahaja. Di samping itu juga, peruntukan derma untuk bayaran
daripada elaun operasi berada di bawah kawalan Ketua HG Persekutuan sepenuhnya.
Dengan itu SHGOs hanya memperuntukkan wang yang diberikan oleh Ketua HG Persekutuan
menurut keutamaan-keutamaan pihak SWECs.[31]
Di
peringkat awal penubuhan HG, kerajaan tidak menyediakan peruntukan pembayaran
elaun[32]
kepada pegawai kerajaan yang menerima pendapatan tetap. Bagi anggota HG yang
mempunyai pekerjaan tetap dalam perkhidmatan awam, bayaran gaji bagi mereka
yang menghadiri latihan di Pusat Latihan HG di buat oleh jabatan atau majikan
tempat seseorang anggota itu bekerja. Bayaran ini menyamai kadar bayaran yang
sama ditempat kerja asal mereka.[33]
Hal ini kerana pemberian elaun hanya dikhaskan kepada anggota HG dari unit
bawahan sahaja.[34]
Secara purata, kadar bayaran biasanya ialah sebanyak $5 bagi jawatan Komander
Platun dan $4 kepada anggota biasa dalam pasukan HG. Selain itu, bayaran elaun
ini diberikan mengikut bilangan hari latihan penuh yang disertai oleh ahli dengan
keutamaan diberikan kepada anggota yang tinggal jauh dari pusat latihan.[35]
Jadual di bawah menunjukkan contoh perbelanjaan penggajian dan pembayaran elaun
kepada pasukan-pasukan HG mengikut negeri bagi tahun 1952 dalam:
Negeri
|
Jumlah bayaran
|
Johor
|
175, 000
|
Melaka
|
50, 000
|
Negeri Sembilan
|
120, 000
|
Pahang
|
135, 865
|
Selangor
|
120, 000
|
Perak
|
200, 000
|
Terengganu
|
15, 000
|
Perlis
|
15, 000
|
Pulau Pinang
|
20, 000
|
Kelantan
|
60, 000
|
Kedah
|
60, 000
|
Ketua Home Guard Persekutuan
|
29, 135
|
Jumlah
|
1,
000, 000
|
Rizab
|
500,
000
|
Keseluruhan
|
$ 1,
500, 000.
|
Jadual
5: Kos penggajian dan pembayaran elaun bagi tahun 1952 mengikut negeri-negeri Persekutuan
Tanah Melayu.
(Sumber: DEF.
37/10, Allocations from Head 5 Secretary Sub-Head 45,
“Salaries and Allowances, Home Guard”, 27
Ogos 1952. [SULIT])
Tugas dan
peranan utama pasukan Home Guard
Peranan utama
yang dimainkan oleh anggota unit setempat HG adalah untuk mempertahankan dan
mengawal keselamatan penduduk kampung dan juga di kampung-kampung baru yang dikenal
pasti berisiko menerima ancaman komunis. Selain itu, anggota-anggota pasukan HG
ini berperanan besar dalam membuat penangkapan dan menghapuskan anggota komunis
yang berada di sekitar kawasan kampung mereka. Pada masa yang sama, seseorang
anggota hendaklah memastikan maklumat-maklumat tentang akitiviti komunis itu
dapat disalurkan secara langsung kepada pihak polis atau pos kawalan utama yang
berhampiran dengan kawasan kawalan pasukan HG. Walau bagaimanapun antara
keutamaan-keutamaan lain yang manjadi tugasan rutin anggota HG termasuklah
juga:
(a)
mengadakan pemeriksaan di setiap pintu masuk atau yang
bertujuan mengawal makanan;
(b) membuat pemeriksaan pada malam hari; dan
(c)
menyertai gabungan atau kombinasi antara HG atau pihak
polis dalam sebarang aktiviti rondaan jalanan.[36]
Dalam sesuatu operasi yang berbentuk
umum, pasukan dari Bahagian Operasi terlebih dahulu melakukan operasi menyerang
hendap dan menjalankan rondaan di sesuatu kawasan yang disyaki menjadi tempat
persembunyian anggota komunis. Untuk menakutkan pihak musuh, serangan hendap
ini dilakukan sekerap mungkin dengan mensasarkan pangkalan mereka sebagai
sasaran utama. Walau bagaimanapun, sebarang bentuk operasi yang dijalankan oleh
HG itu boleh dijalankan sama ada secara bersendirian ataupun bersama-sama
dengan anggota pasukan bersenjata lain seperti pihak polis dan tentera. Dalam
pada itu juga, seseorang anggota HG memainkan peranan penting untuk memastikan
pasukan HG di kampung-kampung baru terus menjalankan tugasan peranannya sebaik
mungkin. Justeru, setiap anggota pasukan HG akan bersama-sama membina kuarters
atau pos kawalan mereka dan bergilir-gilir berjaga di kawasan di sekitar pos
kawalan HG.[37] Sebagai
langkah pengukuhan, terdapat 3 fasa proses pembangunan pasukan yang telah
digariskan oleh kerajaan iaitu:
i)
Fasa I: anggota HG yang masih di dalam proses latihan
dan tidak dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan;
ii)
Fasa II: anggota pasukan HG berperanan membantu pihak polis
dalam menjaga keselamatan; dan
iii)
Fasa III: anggota HG di kawasan ini bertanggungjawab
sepenuhnya untuk mempertahankan keselamatan kampung.
Satu lagi ciri
penting dari Fasa III ini ialah setiap anggota HG dipertanggungjawabkan untuk
menjaga peralatan senjata yang dimiliki oleh mereka. Hal ini jelas menunjukkan
bahawa anggota HG ini perlu memastikan bukan sahaja keselamatan diri mereka
sahaja tetapi setiap senjata yang diberikan mestilah dijaga dengan baik agar
tidak disalah gunakan atau jatuh ke tangan pihak musuh.[38]
Pembangunan dalam pasukan Home Guard
Sejak dari awal
penubuhannya lagi, kerajaan sedar bahawa fungsi yang dimainkan oleh pasukan HG
kepada keselamatan negara adalah penting. Selain menjadi nadi utama dalam
membantu pihak berkuasa keselamatan awam mengekang komunis, pasukan HG turut memainkan
peranan sebagai “mata dan telinga” kerajaan. Sebagai langkah mengukuhkan
pasukan HG, kerajaan membuat beberapa perubahan dalam aspek-aspek tertentu. Hal
ini direalisasikan dengan pengenalan 3 fasa diterapkan kepada anggota HG dalam
meningkatkan keberkesanan tugasan mereka mempertahankan keselamatan kampung.
Ketiga-tiga aspek ini meliputi aspek latihan, penyelarasan pertahanan dengan
tanggungjawab pihak polis dan juga penumpuan kepada tanggungjawab sebagai
anggota HG.[39]
Di sesetengah kawasan putih, situasi
keselamatan di tahun-tahun akhir zaman darurat telah berjaya mencapai tahap
skala penuh. Walau bagaimanapun, untuk mengukuhkan lagi pasukan HG kerajaan
memutuskan semua kampung yang telah mencapai tahap Fasa III, kampung-kampung
baru dan kampung-kampung Melayu mestilah mengutamakan beberapa perkara berikut:
i)
latihan (polis bertanggungjawab untuk pertahanan);
ii)
jalinan kerjasama pertahanan dengan pihak polis;
iii)
kekuatan sepenuhnya pasukan HG bertanggungjawab untuk
pertahanan; dan
iv)
skuad simpanan, kader askar yang bertanggungjawab untuk
pertahanan.[40]
Penempatan pasukan HG di kawasan
kampung-kampung baru yang diklasifikasikan dalam beberapa fasa tertentu
dilengkapi dengan beberapa kemudahan. Pada peringkat Fasa I ini, sebanyak 12
senapang patah S.B diletakkan di balai
polis untuk digunakan semasa sesi latihan. Namun demikian, pengawasan dan
penjagaan senjata-senjata ini adalah di bawah tanggungjawab pihak polis. Pada
peringkat ini, anggota-anggota HG menjalankan latihan utama mereka seperti
latihan mengawal pos kawalan, latihan rondaan rutin dan kaedah pengendalian
memastikan loceng kecemasan. Semasa latihan tersebut berlangsung, pihak polis
memantau sepenuhnya anggota pasukan HG bagi memastikan merteka menerima latihan
dalam asas yang betul.
Di peringkat Fasa II pula, anggota-anggota
pasukan HG dilatih khusus sebelum diserapkan dalam Fasa II oleh CPO dan
diluluskan oleh SWEC. Mereka yang berjaya melepasi tahap ini dipantau secara
menyeluruh untuk sementara dan menjalani latihan fasa terakhir selama 3 bulan.
Melalui latihan ini, kerajaan melahirkan anggota HG yang berketerampilan untuk
menentang musuh-musuh negara.
Bagi memastikan keberkesanan strategi dan
pertahanan pasukan HG berjalan lancar, sesebuah pelan tindakan atau operasi
mestilah mendapat persetujuan daripada DWEC.[41]
Langkah ini amat penting bagi membolehkan persediaan yang rapi dilakukan sebelum
sesuatu operasi dijalankan. Pelan operasi ini pula sentiasa dikemaskinikan dan
biasanya digunapakai semasa pelaksanaan sesebuah tindakan operasi di Fasa III.
Selain itu, lokasi pasukan HG simpanan pula diletakkan di mana-mana sahaja pos
kawalan yang berhubung terus dengan balai polis. Pada masa yang sama, mereka
juga ditempatkan di kawasan balai polis yang berada di bawah kawalan OCS yang
tidak berada dalam lingkungan berdekatan dengan balai polis.[42]
Sistem perhubungan antara pasukan simpanan
dan pos kawalan alat penggera kecemasan dipastikan sentiasa beroperasi.
Justeru, dalam peringkat ini, pihak polis diintegrasikan dalam unit kawalan
malam pasukan HG untuk memperkukuhkan kekuatan pasukan di pos kawalan utama.
Walau bagaimanapun, tumpuan juga diberikan kepada kawalan keselamatan di balai
polis dan pos kawalan utama HG kerana kedua-dua kawasan ini merupakan lokasi
yang menjadi tumpuan komunis yang sering melakukan serangan hendap di kawasan
berkenaan. Dalam strategi ini, di setiap pos kawalan biasanya dilengkapkan
dengan “double sentry” iaitu seorang
konstable polis atau konstable khas dan seorang anggota HG ditugaskan pada sebelah malam di pos kawalan
utama HG. Justeru, sepanjang tugasan malam ini, pengawal polis bersama anggota
HG lain di kawasan pos kawalan. Semasa bertugas, mereka saling menghantar
isyarat dan melaporkan situasi semasa bagi memastikan perhubungan komunikasi
antara balai polis dan pos kawalan berjalan lancar di samping maklumat-maklumat
terkini dilaporkan terus kepada bilik kawalan utama. Pada peringkat Fasa II ini
sekiranya kawalan dan keselamatan memuaskan, pihak SWEC dan SHGO akan
mengeluarkan arahan supaya pasukan ini bersiap sedia untuk meneruskan operasi
pada tahap Fasa III.[43]
Di kawasan yang termasuk dalam Fasa III, “polis
garrison” yang bertugas di kawasan ini dikurangkan bilangan bergantung kepada arahan yang dikeluarkan kerajaan. Dalam
sesuatu operasi, jumlah mereka dikurangkan mengikut keperluan dan tahap
ancaman. Anggota ini kemudiannya ditempatkan kembali ke balai asal dan kerajaan
pula membenarkan pembentukan skuad simpanan bergerak yang kukuh sebagai
persediaan untuk menghadapi ancaman musuh. Dari segi kelengkapan senjata, dalam
sesuatu operasi anggota HG biasanya diberikan satu senapang bagi setiap tiga
orang anggota. Selain itu, kerajaan juga mempertimbangkan pemberian peruntukan
bekalan senjata tambahan berdasarkan
kes-kes tertentu misalnya dengan mengambil kira tugasan anggota-anggota di
kawasan terpencil, berselerak dan membahaya yang dicadangkan oleh pihak CPO dan
SHGO.[44]
Bagi Fasa IV, apabila sesuatu kawasan
isytiharkan mencapai tahap “putih”, pengurangan anggota di kawasan kawalan HG akan
dilakukan. Namun, anggota-anggota HG tidak diberhentikan serta-merta tetapi
dalam tempoh antara 3 hingga 6 bulan.[45] Diperingkat
permulaannya, pengurangan ini melibatkan anggota yang bertugas pada waktu malam
sahaja, hanya sejumlah kecil ditugaskan menjaga pos kawalan. Dalam hal ini
pihak SWECS yang membuat pertimbangan jumlah minimum anggota yang layak
bertugas pada waktu itu mengikut kesesuaian dan keadaan semasa. Sekiranya
anggota PKM masih aktif di kawasan itu, jumlah anggota yang ramai mungkin
diperlukan. Bagi memperkemaskan kembali kekuatan pasukan, beberapa tindakan
telah diambil iaitu:
a)
hanya anggota yang aktif disimpan dalam skuad manakala baki
anggota ditempatkan dalam pasukan simpanan. Kader yang aktif memainkan peranan
yang berbeza-beza; seorang komander dikhususkan untuk mengawas orang bawahannya
lebih kurang 9 orang hingga 25 orang;
b)
kader-kader yang aktif diberikan senjata senapang patah
atau pump gun dalam nisbah seorang
untuk satu senjata;[46]
c)
unit-unit simpanan dibenarkan untuk menyimpan senjata
persendirian sahaja. Mereka dibenarkan menyimpan atau mengekalkan kad waran dan
peralatan namun kuasa mereka sebagai anggota HG tidak diperakui lagi;[47]
d)
kawalan malam dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja sekiranya diperlukan kader yang aktif
ditugaskan menjaga pos secara berkala untuk semalaman selain melaksanakan rutin
rondaan pada masa-masa tertentu.[48]
Prinsip asas pertahanan dalam pasukan Home
Guard
Kejayaan sesuatu
rancangan pertahanan bergantung sepenuhnya kepada tiga faktor. Pertamanya ialah
pelaksanaan segala strategi dan pelan yang telah dirancangkan manakala keduanya
bergantung kepada keupayaan individu anggota HG serta bentuk latihan yang diterima
dan ketiganya kekerapan daripada kombinasi kedua-dua faktor sebelum ini.
Bagi memastikan pasukan HG benar-benar
mantap, kerajaan memperkukuhkan strategi pertahanan pasukan HG secara tersusun.
Dalam setiap rancangan pertahanan, beberapa kriteria khusus diberikan
keutamaan. Sebagai contoh, kerajaan turut mengambil kira keadaan di
kampung-kampung yang tidak dilengkapi dengan kemudahan sistem pengera kecemasan
atau sistem kawalan keselamatan yang mantap. Di kebanyakan kampung-kampung baru
pula hanya di sesetengah tempat sahaja yang berjaya dipantau dengan baik oleh
pihak berkuasa keselamatan. Namun demikian tidak ada pasukan HG yang mampu
mengekang kemaraan pihak musuh dengan sepenuhnya. Hal ini disebabkan oleh
masalah wujudnya aktiviti penyusupan anggota-anggota komunis ke dalam pasukan HG
yang tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh kerajaan. Justeru, menyedari masalah
ini, kerajaan merangka semua sistem pertahanan atau keselamatan berdasarkan
beberapa keutamaan asas utama seperti berikut:
a)
penguatkuasaan kawalan keselamatan dengan melakukan
aktiviti rondaan dalam kawasan kampung;
b)
mengadakan rutin rondaan di kawasan luar kampung bagi
memastikan bahawa tidak ada pengganas komunis bersembunyi di kawasan
berhampiran dengan pertimbangan DWEC;
c)
membentuk sistem penggera keselamatan yang berkesan di kampung-kampung dengan pos pengera
menghalang atau mencegah penyerang.[49]
Di kawasan kampung, penghulu memainkan
peranan utama dalam menggerakkan pertahanan pasukan HG di kawasan yang
ditadbirnya dilantik sebagai peneraju utama anggota-anggota HG di sesebuah
kampung.[50] Di
samping itu penghulu juga terlibat dalam menyampaikan arahan dari Ketua HG
Persekutuan kepada anggota-anggota di kawasan kampung. Adakalanya seseorang
penghulu itu dilantik sebagai Komander Batalion atau menjadi ketua pasukan HG
di kawasan mukim mereka.
Aspek taktikal dalam pasukan Home Guard
Bagi memastikan
pasukan HG muncul sebagai pasukan keselamatan yang penting, kerajaan telah
membuat beberapa arahan dasar sebagai garis panduan operasi. Pertamanya
mengadakan rondaan dan kawalan dalam waktu yang panjang di kampung dan
kampung-kampung baru. Dengan pelaksanaan jadual tugasan ini juga, anggota HG
menjalankan rondaan dalam jarak yang tertentu dengan kawasan asas mereka
berdasarkan kepada rancangan yang dipersetujui bersama dengan polis tempatan.
Dari segi peralatan senjata pula, setiap anggota yang ditugaskan berkawal di
kubu (pos penguasa) dibekalkan dengan senapang patah dan juga 50 biji peluru.[51]
Walau bagaimanapun seseorang anggota HG tidak dibenarkan untuk menjalankan
operasi diluar kawasan ini melainkan dalam operasi yang dijalankan bersama
pihak polis atau tentera.
Keduanya, membentuk unit-unit kecil yang
beroperasi dalam jumlah yang banyak. Mereka yang terlibat dalam bahagian ini diberi
latihan tambahan dan disiapsediakan untuk menjalankan operasi yang aktif secara
bersendirian (melibatkan anggota HG sahaja) atau dengan bersama-sama pihak berkuasa keselamatan lain dalam
menentang musuh di kawasan mereka. Dalam pada itu juga, pada peringkat awalnya
anggota HG tidak akan diminta untuk mengambil bahagian dalam sesuatu operasi
selain daripada menjaga di kawasan kampung mereka melainkan jika mereka
berkhidmat sebagai seorang sukarelawan biasa. Namun apabila langkah pemerkasaan
pasukan dilakukan, banyak operasi HG dijalankan dengan melibatkan kerjasama inter state yang membolehkan seseorang
anggota HG di sesebuah negeri mengambil bahagian dalam operasi luar daripada
kawasan jagaannya.[52]
Bagi anggota-anggota HG berbangsa Melayu,
Cina, dan India telah dibentuk satu pasukan HG yang khusus. Meskipun pada
permulaannya mereka lebih cenderung berada dalam unit yang berasingan namun
kemudiannya digabungkan agar setiap kaum dapat diintegrasikan supaya bersatu
padu menjaga keselamatan kawasan kampung masing-masing.[53]
Selain itu, ia bertujuan untuk membangunkan anggota HG yang terdiri daripada
pelbagai bangsa bahawa mereka sebenarnya berganding bahu dengan polis dan
tentera bertanggungjawab atas keselamatan di kawasan mereka.
Pos kawalan Home Guard
Pos
penguatkuasaan HG yang dibina tidak melibatkan kawasan yang besar. Hal ini
bertujuan bagi memastikan kesemua anggota HG dapat menumpukan tugas dengan baik
tanpa disalahgunakan untuk aktiviti lain. Binaan pos ini diberi penekanan
kepada ciri keselamatan seperti kalis peluru dan mampu memberi perlindungan
dari semua sudut daripada peluru di bahagian anjung atau di bahagian luar.
Di setiap pos kawalan pasukan HG, terdapat
dua pintu keluar yang dibina khas bagi memudahkan anggota pasukan
mempertahankan diri sekiranya diserang oleh musuh. Selain itu, pos kawalan ini juga diperkuatkan lagi
dengan pagar berkembar di bahagian hadapan dengan binaan pagar yang bersesuaian
dengan ciri-ciri keselamatan. Ianya dibina dilokasi yang strategik di sesuatu
kawasan yang menjadi pusat kepada sesebuah kampung atau kampung baru. Sebagai
langkah keselamatan, biasanya pos kawalan dibina bersebelahan atau berhampiran
dengan balai polis. Walau bagaimanapun, di kawasan perkampungan baru yang besar
seperti di kawasan Fasa III, pos kawalan biasa dibina lebih dari sebuah kerana
kawasan ini lebih berisiko untuk diganggu komunis.[54]
Sistem penggera keselamatan.
Sistem pengera
kecemasan merupakan alat terpenting kepada pasukan keselamatan awam. Justeru,
sistem pengera ini telah ditempatkan di hampir setiap kawasan strategik kampung.
Oleh demikian setiap pengera yang dipasang di kampung-kampung ini mampu
memancarkan isyarat yang baik, kuat dan berkepekaan tinggi. Sekiranya terdapat
tembakan berlaku di sekitar kawasan berhampiran kampung, sistem pengera ini
dapat menjejak bunyi tembakan dan bertindak sebagai isyarat signal utama. Hal
ini memudahkan orang-orang kampung dan juga anggota pasukan HG untuk bersiap
sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan yang berlaku.
Dalam sesuatu operasi, penggera kecemasan
ditempatkan di kawasan yang sesuai. Alat penggera ini memberi isyarat agar
anggota HG bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Pada kebiasaannya,
pos kawalan dijaga oleh 3 orang anggota yang dibekalkan dengan dua laras senapang
patah dan juga beberapa senjata biasa seperti parang. Anggota-anggota HG
mengambil kedudukan yang strategik untuk berhadapan dengan musuh. Sekiranya berlaku kejadian tembak menembak,
mereka diajar supaya meniarap di atas lantai dan berada dalam keadaan tersebut
sehingga keadaan kembali aman. Dalam masa yang sama semua lampu di dalam
kampung kecuali perimeter lighting
dipadamkan.[55]
Sekiranya dalam sesebuah kampung tidak
terdapat balai polis, maka balai polis yang berhampiran di luar kampung menjadi
tempat untuk melaporkan sesuatu kejadian. Sekiranya perlu, dalam kadar yang
singkat pengera akan dipasang dan OCS pula dihantar ke kawasan berkenaan untuk
meninjau keadaan. Di kawasan Fasa III, Komander HG menjadi penguasa utama dalam
setiap kejadian serangan. Walau bagaimanapun, OCS atau Komander HG juga boleh
dilantik sebagai Komander bagi keseluruhan pasukan HG di kampung dan
bertanggungjawab menyelaraskan pertahanan setempat. Namun situasi di kawasan
kampung di Fasa IIA berbeza kerana di kawasan ini Pegawai OCS dalam pasukan polis biasanya yang menjadi
pegawai penguasa utama bagi setiap kejadian serangan yang berlaku.[56]
Penyelarasan pertahanan dan keselamatan di
kampung
Oleh kerana keselamatan
kampung menjadi agenda utama pasukan HG, pelan pertahanan dan keselamatan telah
disediakan sepenuhnya oleh kerajaan bagi seluruh kampung dan juga penduduk di
kawasan yang mempunyai pasukan HG. Perkara ini adalah berdasarkan garis panduan
dan arahan yang telah dibuat oleh pihak polis dan dipersetujui oleh SHGO atau
digazetkan oleh pegawai-pegawai HG yang dicalonkan oleh SHGO. Di kawasan Fasa
III, pelan tindakan dan keselamatan kawasan ini dirangka terus oleh SHGO atau
digazetkan oleh pegawai HG yang dilantik. Dalam kedua-dua kes ini, ianya
dilanjutkan untuk pemerhatian DWEC sebelum diberi kelulusan.
Setelah melalui peringkat tersebut, tugas
mengadakan latihan dan penyelenggaraan terhadap rancangan tersebut bergantung
kepada pihak polis. Justeru, rancangan pertahanan yang dirangka dimulakan
dengan sesi latihan yang dijalankan secara kerap. Pada masa yang sama semua
penduduk yang mendiami kawasan pekan atau kampung akan diajar cara-cara untuk
bertindak sekiranya amaran kecemasan dibunyikan. Dalam sesuatu tindakan,
rancangan pertahanan dan keselamatan merangkumi pergerakan unit-unit simpanan,
pembukaan fire bay skuad simpanan dan
juga jaringan pos kawalan HG.[57]
Pengendalian peralatan senjata, peluru dan
pakaian seragam
Sebagai sebuah organisasi
keselamatan, pasukan HG menerima peruntukan senjata khusus daripada kerajaan.
Namun demikian, segala senjata dan peluru pasukan hanya diberikan kepada
anggota HG tertentu dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan
dan penjagaan senjata tersebut.[58]
Dalam beberapa kes yang tertentu, pihak SHGO memberikan kebenaran kepada
anggota yang berpangkat komander untuk menyimpan senapang dan peluru bagi
kegunaan semasa latihan dan operasi spesifik.[59] Sekiranya
senapang itu tidak digunakan, semua peluru dari dalam senjata perlu
dikeluarkan. Selain itu, setiap anggota bertanggungjawab untuk melaporkan
keadaan setiap senjata itu kepada pihak pengurusan atau pentadbiran dari semasa
ke semasa.
Anggota HG juga disyaratkan untuk
menyimpan senapang mereka di bawah kawalan dan pemantauan pihak polis. Namun,
semasa berkursus di pusat latihan negeri, senapang-senapang ini diserahkan
kepada unit keselamatan yang menguruskan senapang di mana senjata-senjata ini disimpan
di atas rak berantai. Selain itu,
bekalan peluru pula dikawal sepenuhnya oleh pihak polis.
Dari segi pakaian seragam pula, secara
umumnya, anggota HG biasa tidak diberikan pakaian seragam yang khusus seperti
pasukan sukarelawan lain. Sebaliknya anggota HG biasa hanya memakai kemeja
putih, berseluar hitam dan bersongkok. Selain itu, setiap anggota diberikan
kain ambin yang bertulis perkataan “Home Guard” untuk dipakai atau dililit di
lengan masing-masing. Lilitan tersebut adalah lambang kepada identiti seseorang
yang bertugas sebagai seorang anggota HG. Walau bagaimanapun terdapat juga
anggota HG yang mempunyai pakaian seragam. Pakaian yang disediakan ini hanyalah
terhad kepada anggota dalam Bahagian Operasi sahaja. Hal ini kerana, sekiranya
berlaku sebarang kejadian genting, anggota dari bahagian ini akan menyertai
operasi bersama-sama pihak keselamatan awam lain. Namun demikian, anggota biasa
juga boleh memiliki pakaian seragam pasukan HG dengan membelinya pada harga $12
dan boleh dijelaskan secara ansuran iaitu dengan kadar bayaran $1 sebulan.
Dalam sesuatu operasi, skuad yang terlibat akan diberikan pakaian seragam
berwarna hijau, terutamanya dalam operasi di dalam hutan.[60]
Operasi pemeriksaan makanan dan kawalan pagar
Dalam
pengendalian pemeriksaan bekalan makanan dan kawalan berpagar pula, secara
umumnya, tidak semua anggota HG bertugas di kawasan pagar pemeriksaan setiap
hari. Sekiranya pihak polis tidak mempunyai anggota yang mencukupi, tugasan yang
dilakukan oleh anggota HG hanya dalam waktu yang singkat dan tidak boleh campur
tangan dalam tugasan harian anggota-anggota polis. Selain itu, tenaga anggota
HG sangat diperlukan apabila terdapat pemeriksaan khusus kawalan makanan.
Pemeriksaan ini adalah di bawah Arahan No. 36 Pengarah Operasi. Dalam sesuatu
operasi yang sedemikian, anggota HG yang terlibat diberikan bayaran $3 sehari,
iaitu diperolehi daripada peruntukkan tabung kawalan makanan.
Semasa aktiviti pengawalan dan
pemeriksaan seperti ini, anggota HG juga ditugaskan untuk membantu pihak polis
dalam membuat pemeriksaan ke atas kenderaan. Selain itu, pemeriksaan di kawasan
jarak lingkungan antara pekan dan kampung adalah di bawah tanggungjawab pihak
polis. Dalam tugasan seperti ini, anggota HG tidak akan dilibatkan. Mereka
hanya ditugaskan untuk berkawal di kawasan pintu pagar pemeriksaan. Pos ini
sebenarnya dibentuk berdasarkan rancangan
pertahanan yang telah dipersetujui bersama antara pihak polis dan HG.[61]
Pengurusan kebajikan dalam pasukan Home Guard
Sebagai sebuah organisasi penting dalam zaman
darurat, pasukan HG juga mengambil berat terhadap kebajikan ahli-ahlinya.
Walaupun ahli-ahlinya terdiri dari mereka yang sepenuh masa dan juga dan
sukarelawan, kesemua anggota ini tetap mempunyai hak dan kebajikan mereka tidak
terabai. Langkah ini penting bagi menggalakkan lebih ramai lagi anggota
masyarakat menyertai pasukan HG. Di Negeri Sembilan, misalnya, Pertubuhan Kebajikan
Anggota-Anggota HG telah diuruskan oleh Jawatankuasa Negeri dan District Sub-Committees. Pengarah HG
Negeri menjadi pengerusi pertubuhan ini dan beliau di bantu oleh Timbalan
Pengarah HG Negeri sebagai Setiausaha dan juga Bendahari.[62]
Untuk
menjaga kebajikan anggota-anggota HG diperingkat daerah, District Sub-Committees ditubuhkan di setiap daerah dalam negeri
ini telah dianggotai oleh beberapa jawatan yang terdiri daripada:
i)
pegawai
HG Senior (ASHGO ataupun DHGO) yang menjadi Pengerusi Ex-officio;
ii)
seorang
Pegawai HG Daerah yang dilantik sebagai Setiausaha dan juga bendahari di
peringkat daerah;
iii)
seorang
Pegawai Waran dan kakitangan tetap; dan
iv)
dua
orang Komander HG tidak bergaji yang terpililh untuk menjadi ahli jawatankuasa.[63]
Penubuhan jawatankuasa seperti ini menjadikan
pasukan HG lebih bersistematik. Hal ini kerana, di peringkat jawatankuasa
daerah mereka disyaratkan bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa dua
bulan bagi meninjau perkembangan pentadbiran. Namun dalam kes-kes tertentu
keputusan untuk mengadakan mesyuarat ini bergantung juga kepada permintaan dari
Pengerusi sekiranya terdapat usul untuk dibincangkan. Sebagai contoh, dalam
Peraturan-Peraturan Pertubuhan Kebajikan HG Daerah Negeri Sembilan, pengurusan
dana kebajikan adalah tertakluk kepada beberapa syarat utama seperti berikut:
a) Akaun Tabung Kebajikan HG diseragamkan di peringkat
negeri dan daerah;
b) Tujuan-tujuan bagi kegunaan tabung ini
digunakan seperti yang terangkum dalam Lampiran (A) Peraturan Pertubuhan
Kebajikan HG;
c) Sumber-sumber pendapatan dari setiap
Tabung Kebajikan Daerah tertakluk kepada Lampiran (B) Peraturan Pertubuhan
Kebajikan HG ;
d) Prosedur perakaunan bagi Tabung Kebajikan
HG adalah tertakluk seperti dalam kenyataan dalam Lampiran (C) Peraturan
Pertubuhan Kebajikan HG;
e) Penggunaan hasil pengumpulan tabungan yang
dikumpulan di peringkat daerah tertakluk kepada;
i)
keuntungan
dari denda yang dikenakan ke atas anggota HG di bawah Peraturan-Peraturan 7 (i)
(a) Undang-Undang Darurat Bagi Home Guard 1951, dibayar kepada Pegawai Home
Guard Negeri sebagai penghargaan untuk Tabung Kebajikan HG Negeri;
ii)
20
peratus daripada semua saluran pendapatan lain yang diterima melalui daerah
daripada mana-mana sumber selain dari pernyataan perenaggan (i) di atas,
sebagai contoh sumbangan sukarela, keuntungan daripada aktiviti-aktiviti
hiburan atau keraian yang bertujuan mengutip derma bagi mengisi tabung dan
lain-lain (dibayar kepada pihak Pegawai HG Negeri sebagai penghargaan kepada
Tabung Kebajikan HG Negeri);
f) Tertakluk kepada peruntukan dalam
perenggan 9 (e) di atas; penggunaan Tabung Daerah berkemungkinan dilanjutkan
bagi seperti keterangan dalam Lampiran (A) mengikut budi bicara Jawatankuasa
Peringkat Daerah;
g) Jawatankuasa Peringkat Daerah akan memohon
sejumlah dana kepada Jawatankuasa Negeri untuk menampung perbelanjaan mereka.[64]
Berdasarkan kandungan yang terangkum dalam
Lampiran A, penggunaan dana tabungan kebajikan adalah khusus kepada perkara
berikut:
i) bantuan kepada anggota-anggota HG atau
warisnya akibat kematian, kecederaan atau ketidakupayaan diri disebabkan
kemalangan dan sebagainya semasa bertugas;
ii) bantuan segera bagi kes-kes
kecemasan sebelum menerima bayaran pencen, pampasan dan lain-lain;
iii)
imbuhan
tambahan dan kemudahan kepada anggota HG yang bertugas di kawasan-kawasan terpencil;
iv)
bantuan
dan sumbangan bagi sambutan-sambutan rasmi seperti Hari Raya, sambutan Tahun
Baru Cina, perayaan Deepavali dan sebagainya;
v)
penyediaan
makanan dan minuman ringan (refreshment);
vi)
sambutan-sambutan
khas;
vii)
fotografi
kumpulan;
viii)
Peralatan
sukan;
ix)
surat
Khabar;
x)
bateri
Wireless;
xi)
lain-lain
kemudahan asas yang diluluskan oleh Setiausaha Pertahanan.[65]
Peruntukan
yang terkandung dalam Lampiran (B) pula menggariskan bahawa sumber-sumber pendapatan dalam Tabung
Kebajikan HG Daerah datangnya daripada sumbangan secara sukarela dan dari kegiatan
atau aktiviti lain yang dianjurkan oleh pihak Jawatankuasa Daerah. Selain itu, melalui Peruntukan yang digariskan dalam
Lampiran (C) Peraturan-Peraturan HG, ia menekankan kepada prosedur pengiraan
akaun. Antara perkara utama ialah jumlah dana Tabung Kebajikan NNS mestilah
dikumpulkan oleh Bendahari Negeri atau NNS. Akaun ini kemudiannnya diselaraskan
oleh pihak Bendahari yang bertanggungjawab mengemaskinikan perbelanjaan dan
juga pemberian bantuan dana mengikut sesuatu keperluan. Akaun ini walau
bagaimanapun dipegang juga oleh pihak HG Negeri sebagai rekod rujukan dalam
membuat belanjawan.[66]
Kesimpulan
Daripada keseluruhan perbincangan bab ini, apa
yang dapat dilihat ialah penglibatan kerajaan dalam pasukan HG adalah
membuktikan bahawa kerajaan memberikan sepenuhnya perhatian dalam usaha memantapkan
lagi peranan pasukan HG. Sebagai langkah pengukuhan pasukan, kerajaan telah
memperkemaskan sistem pentadbiran dan mewujudkan beberapa pembaharuan di dalam
pasukan HG. Keadaan ini membolehkan penyelarasan dan pembahagian skop tugas
kepada semua anggota dapat dilaksanakan dengan baik.
Walaupun pasukan HG berstatus pasukan
sukarelawan, penglibatan setiap anggota dalam pasukan ini mendapat
pengikitirafan oleh pihak kerajaan. Kerajaan PTM menyediakan peruntukan yang
besar dalam membangunkan pasukan HG Tanah Melayu. Memandangkan peranan yang dimainkan
oleh pasukan HG sangat besar dan mencabar, kerajaan telah menyelaraskan
pembayaran elaun dan pelbagai kemudahan kepada semua anggota. Langkah ini dapat
meningkatkan lagi semangat kerja seluruh anggota dalam menghadapi
cabaran-cabaran getir.
Dalam
memastikan keberkesanan tugasan pasukan, aspek latihan menjadi perkara terpenting
dalam pasukan HG. Hal ini kerana dengan pengalaman yang diperolehi di
pusat-pusat latihan, ianya membantu anggota HG semasa menjalankan operasi
bersama-sama pihak keselamatan awam lain. Usaha memperkasakan kemudahan dan
strategi latihan telah diambil perhatian oleh kerajaan. Di atas kesedaran ini
seluruh pasukan HG di Tanah Melayu menerima peruntukan yang besar daripada
kerajaan dalam membangunkan pasukan HG masing-masing. Selain itu, penekanan
kepada sistem latihan yang praktikal diamalkan sepenuhnya bagi membolehkan
anggota mempelajari asas-asas pertahanan dan pengurusan pasukan.
Meskipun,
HG adalah bersifat sukarela, kerajaan telah mengambil berat terhadap aspek
kebajikan dan kemudahan semua anggota HG melalui Tabung Kebajikan HG yang ditubuhkan.
Pelbagai kemudahan telah diberikan demi memastikan setiap anggota menikmati
kemudahan yang sewajarnya seiring dengan pengorbanan mereka semasa menjalankan
tugas. Dengan kemudahan dan kebajikan yang diberikan kepada semua anggota tanpa
mengira pangkat, ia menjadi pembakar semangat anggota pasukan kearah
mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan mereka. Langkah ini juga sangat penting
dalam memacu pasukan HG sebagai sebuah pasukan keselamatan yang penting selepas
pihak polis dan tentera.
[1] “Competent authority” bermaksud bahawa Menteri Besar
dan juga Pegawai HG Negeri di setiap negeri dan juga Pesuruhjaya Residen, Pegawai
HG Negeri di Negeri-Negeri Selat, serta semua Pegawai Daerah atau individu yang
diakui sebagai wakil pihak Menteri Besar atau Pesuruhjaya Residen. Lihat Federation
of Government Gazette No. 10 of 1948, hlm. 2.
[3] Ibid.
[4]
Suffian Mohamed, “Home Guard di Johor semasa darurat 1948-1960”, Latihan Ilmiah
(B.A. Hons), Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2004, hlm. 59.
[5]
Untuk melihat struktur organisasi HG negeri dan NNS di Tanah Melayu, sila lihat
Lampiran B.
[6] U/7/54 Home Guard General, CIS (53) (17)
The Home Guard General. [SULIT]
[7] Nama
lainnya ialah Assistant State Home Guard
Officer (ASHGO).
[8] Untuk
keterangan lanjut sila lihat pemerincian umum mengenai statistik keanggotaan HG
mengikut negeri yang dibincangkan dalam Bab 3. Sebagai tambahan di sini, jumlah
keanggotaan pasukan HG adalah berbeza mengikut kawasan atau keperluan.
[9] U/7/54 Home Guard General, CIS (53) (17)
“A Government Policy Towards The Home Guard”, hlm. 2. [SULIT]
[10]
Ibid.
[11] Dari
tahun 1948-1960’an Ketua Pasukan HG
Persekutuan Tanah Melayu diterajui Sgd. Maj. Gen. E.B. de Fonblanque. Beliau
merupakan ketua pasukan HG yang telah berjaya
meletakkan pasukan HG menjadi
pasukan keselamatan yang dihormati dan disegani ekoran perkhidmatan cemerlang
anggota pasukan HG.
[12] State War Executive Committee atau
Jawatankuasa Eksekutif Perang Negeri.
[13] U/2/54 Home Guard Staff and Establishment,
“Telegram HeadGuard Kuala Lumpur to SHGOs States/Settlements, Establishment 1956 and Terms of Servive
Asian Officers”, Ref. No. I/G/19/82, 16 February, 1955 [ SULIT].
[14] U/6 Home Guard Instructions, Home Guard
Instrctions No. 2, Essential points for Home Guard, hlm. 3. [SULIT]
[15]
Ibid.
[16] Ibid.,
hlm. 4.
[17]
Ibid.
[18] U/6 Home Guard Instructions, Home Guard Instrctions No. 3, Essential
points for Home Guard, hlm. 3. [SULIT]
[19] U/4/55, Home Guard Finance, DEF. Conf.
37/67, “The payment of monthly honoraria to unsalaried Home Guard Comander”. [SULIT]
[20] U/6 Home Guard Instructions, Home Guard Instrctions No. 3, Essential
points for Home Guard, hlm. 3. [SULIT]
[21] U/6 Home Guard Instructions, Home Guard Instrctions No. 3, Essential
points for Home Guard, hlm. 3. [SULIT]
[22] U/6 Home Guard Instructions. Untuk
keterangan lebih lanjut, sila rujuk laporan
Sgd. Maj. Gen. E.B. de Fonblanque, Inspector General Home Guard,
Federation of Malaya dalam Home Guard
Instrctions No. 3, “Essential points for Home Guard”, hlm. 4. [SULIT]
[23]
ANM, Home Guard Training Pamphlets,
hlm. 3.
[24] U/4/A Home Guard Finance Amenity Grant,
C.S.O. 883/1951/110, “Letter from Sir F.M. Smith, Audit Directos to the
Secretary for Defence”, 16 November 1952. [SULIT]
[25] U/4/A Home Guard Finance Amenity, Grant Def.
6037/1952/23, “Amenity Grants for Home Guard”. [SULIT]
[26] U/4/54, Home Guard Finance, State of Home Guard Negeri Sembilan, “Return
of Home Guard Expenditure for the year 1953”. [SULIT]
[27]Catatan perbelanjaan ini telah dikeluarkan
oleh S.H. Kyle-Little, Ketua Audit Pasukan Home Guard Negeri Sembilan pada 25
Januari 1954.
[28] U/4/A Home Guard Finance Amenity Grant, C.S.O.
883/1951/110, “Letter from Sir F.M. Smith, Audit Directors to the Secretary for
Defence”, 16 November 1952. [SULIT]
[29]
M/26/85 CO 1022/35, The employment of the
local Home Guard against banditry in Malaya, 1951-1953. [SULIT]
[30]
Temubual En. Abdul Rahim bin Sanusi, (bekas anggota HG berpangkat Seksyen
Komander), di Kampung Lepau, Pengerang, Johor, 17 Mac 2009. Menurut beliau hampir semua penduduk lelaki
dewasa di Kampung Lepau menganggotai pasukan HG. Kampung Lepau telah diisytiharkan
sebagai ‘kawasan putih’ pada tahun 1962.
[31]
DEF. Y.37/51, Director of Operations
Malaya Instruction. No. 35, “The Home Guard in 1955”, hlm. 10. [SULIT]
[32]
Untuk tahun 1952 sahaja, kerajaan menyediakan peruntukan elaun rizab sebanyak $85,000
kepada anggota HG bawahan. Namun pembayaran ini bergantung kepada keadaan dan
kekerapan perkhidmatan anggota HG dalam kategori tersebut.
[33]U/5 Home Guard Training DEF: 857/53/31, “Pamphlet
Secretary for Defence, J.M. Normand Allowances payable to government officers
in respect of Home Guard training and other Home Guard duties”, 8 Disember
1953. [SULIT]
[34] Diistilahkan
sebagai unpaid ranks of Home Guard.
[35] U/4/A Home Guard Amenity Grant, C.S.9496/51/86, “Letter
from J.M. Normand, Secretary for Defence, Federation of Malaya, Training
Allowances for Unpaid Rank of The Home Guard”, 20 Jun 1952. [SULIT]
[36] U/7/54 Home Guard General CIS (53) (17) “Duties
of the Home Guard”, hlm. 2. [SULIT]
[37]
Temubual En. Abdul Rahim bin Sanusi di Pengerang, Johor.
[38] U/7/54 Home Guard General, CIS (53) (17)
“Duties of the Home Guard”, hlm. 2. [SULIT]
[39] U/1/55 Home Guard Instructions and
Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No.
35, The Home Guard in 1955”, hlm. 2. [SULIT]
[40]
Ibid.
[41] District War Executive Committee.
[42]
Ibid.
[43] U/1/55 Home Guard Instructions and
Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No.
35, The Home Guard in 1955”, hlm. 2. [SULIT]
[44]Ibid.
[45]
Ibid.
[46]
Walau bagaimanapun, pemberian senapang ini hanyalah untuk kegunaan individu
berkenaan sahaja dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya keatas keselamatan
senapang tersebut. Pasukan simpanan ini juga menerima penyeliaan dan latihan daripada anggota HG berjawatan tetap
dan menjalani latihan menembak tahunan. Sila lihat U/1/55 Home Guard Instructions and Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director
of Operations Malaya Instruction. No. 35, The Home Guard in 1955”, hlm. 4-5.
[SULIT]
[47]
Ibid. Kad waran mereka akan di “chop”
bagi menandakan ia tidak diperakukan lagi malahan mereka juga tidak dibenarkan
untuk menyertai latihan menembak tahunan.
[48] U/1/55 Home Guard Instructions and
Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No.
35, The Home Guard in 1955”, hlm.4 dan 5. [SULIT]
[49]
Ibid., hlm. 6.
[50] U/10 Home Guard Appointments, Def. Y.
37/4/37, “Letter from E.B. David, the Secretary of Defense, David to all
Chairman SWEC’S of State/Settlements”, 16 Oktober 1952. [SULIT]
[51] Temubual
En. Abdul Rahim bin Sanusi di Pengerang, Johor.
[52] U/10 Home Guard Appointments, Def. Y.
37/4/37, “Letter from E.B. David, the Secretary of Defense, to all Chairman
SWEC’S of State/Settlements”, 16 Oktober 1952. [SULIT]
[53]
Ibid.
[54] U/1/55 Home Guard Instructions and
Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No.
35, The Home Guard in 1955”, hlm. 6. [SULIT]
[55] Ibid.
[56]
Ibid. hlm, 8.
[57]Ibid.,
hlm 8.
[58]
Mereka yang diberi kepercayaan mengendali dan menyimpan senjata terdiri
daripada pegawai-pegawai kanan dan anggota yang berpangkat. Secara umumnya,
dalam satu-satu situasi selaras senapang
dikongsi oleh tiga anggoa HG. Keterangan lanjut sila rujuk U/1/55 Home Guard Instructions and Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director
of Operations Malaya Instruction. No. 35, The Home Guard in 1955”, hlm. 6.
[SULIT]
[59] U/1/55 Home Guard Instructions and
Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No.
35, The Home Guard in 1955”, hlm. 8, [SULIT]
[60]
Temubual penulis Encik Abdul Rahim bin Sanusi di Pengerang, Johor.
[61] U/1/55 Home Guard Instructions and
Regulations, DEF. Y.37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No.
35, The Home Guard in 1955”, hlm. 9. [SULIT]
[62] U/8/54 & 55, File NS State Home Guard
Welfare Committee, “Rules For District Home Guard Welfare Organisation” hlm.
2. [SULIT]
[63]
Ibid.
[64] U/8/54 & 55, Negeri Sembilan State Home
Guard Welfare Committee, “Rules for distict Home Guard Welfare Organisation”, hlm. 2. [SULIT]
[65]
Ibid., hlm. 3.
[66] U/8/54 & 55, Negeri Sembilan State Home
Guard Welfare Committee, “Apendix “A” to Rules for District Home Guard
Welfare Organisation”. [SULIT]
sila dptkan satu salinan buku asal yang akan diterbitkan pada penghujung bulan Jun ini. Segala fakta, analisis data dan kajian ini dibuat sepenuhnya oleh Zulkifli Muhamad sebagai pengarang asal kertas kerja bertajuk Darurat: Satu Penjelasan Terhadap Latar Belakang dan Peranan Organisasi Home Guard
ReplyDeleteKajian ini juga mendapat anugerah tempat kedua bagi penulisan kajian-kajian berasaskan Darurat dan Kemerdekaan Tanah Melayu. Petikan dari bab 1,3,4,dan 5 berada dalam buku pengarang yang asal.
ReplyDelete